Kerjasama lebih erat antara MINTRED dan MITI tarik pelabur tenaga hijau ke Sarawak
KUCHING, 25 Mac: Dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan ke Sarawak, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak menjalinkan kerjasama lebih erat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata perbincangan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini merangkumi untuk menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga hijau dan diperbaharui di rantau ini. “Ia menjadi keperluan dalam menarik pelaburan yang betul terutamanya pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan hidrogen hijau,” katanya dalam kenyataan. Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak berkata, perlu ada beberapa insentif disediakan kepada pelabur, malah dasar yang kukuh untuk memudahkan pertumbuhan industri ini. Perbincangan tersebut turut disertai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh, Penasihat MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkarnain Misron dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datu Ismawi Ismuni dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong – TVS